Tuesday, February 16, 2010

Dikala Kekasih Allah dijemput mengadapNya.

Diriwayatkan bahawa Surah Al-Maidah ayat 3 diturunkan pada sesudah waktu Asar iaitu pada Hari Jumaat di Padang Arafah pada musim Haji Penghabisan (Wida"). Pada masa itu Rasulullah S.A.W tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut. Kemudian Rasulullah S.A.W bersandar pada unta beliau, dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan.

Setelah itu turun Malaikat Jibril a.s dan berkata

"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan demikian juga apa yang terlarang olehNya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu."


Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata "Agama kita telah sempurna"Agama kita telah sempurna"

Apabila Abu Bakar mendengar keterangan Rasulullah S.A.W itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya.

Maka Abu Bakar r.a pun berkata "Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ianya menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah S.A.W. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri nabi menjadi janda."

Kemudian Ali r.a berkata "Ya Rasulullah, Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar Ya Rasulullah ? ".

Lalu Rasulullah S.A.W berkata,
"Semua yang dikata oleh Abu Bakar adalah benar dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua telah hampir dekat."

Sebaik sahaja Abu Bakar r.a mendengar pengakuan Rasulullah S.A.W maka iapun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali r.a pula menggeletar seluruh tubuhnya. Dan para sahabat yang lain menangis dengan sekuat-kuatnya yang mereka mampu. Sehingga gunung-gunung, batu-batu, semua Malaikat yang di langit, cacing-cacing dan semua binatang baik yang di darat mahupun di lautan turut menangis. Kemudian Rasulullah S.A.W bersalaman dengan para sahabat satu demi satu dan berwasiat kepada mereka.

Kisah Rasulullah S.A.W mengalami hidup selepas turunnya ayat tersebut, ada yang mengatakan 81 hari, ada pula yang mengatakan beliau hidup sehingga 50 hari selepas turunnya ayat tersebut, ada pula yang mengatakan beliau hidup selama 35 hari dari ayat tersebut diturunkan dan ada pula yang mengatakan 21 hari.

Mengikut riwayat Ibn Ishaq dan Ibn Sa'ad daripada Abu Muwaihibah mengenai geringnya Rasulullah S.A.W katanya

"Aku diajak pergi oleh Rasulullah S.A.W di tengah-tengah malam," kata baginda "Wahai Muwaihibah, aku diperintahkan supaya memohon ampun untuk penduduk Baqi"". Kemudian Baginda pun datang kepada aku lalu katanya

"Telah diberikan kunci khazanah dunia untuk kekal dalam dunia ini, tetapi aku memilih untuk bertemu dengan Tuhanku dan Syurga."

"Wahai Rasulullah. Ambillah kunci khazanah dunia dan kekallah dalam dunia kemudian barulah syurga."

"Tidak, demi Allah wahai Abu Muwaihibah, aku telah memilih pertemuan dengan Tuhanku dan Syurga."

Sejak itu mulalah geringnya Baginda Rasulullah S.A.W. Sakit yang mula dirasai oleh Rasulullah S.A.W. ialah sakit kepala yang bersangatan. Dari Aishah r.a., bahawa tatkala pulang Baginda dari Baqi' disambut oleh Aishah, maka Baginda mengadu dengan mengatakan : "Kepalaku wahai Aishah"." Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Urwah bahawa Aishah memberitahu kepadanya : bahawa Rasulullah S.A.W. bila mengidap sakit, Baginda menyapu-nyapukan air liurnya dengan tangannya sambil membaca ayat-ayat Ma'uzah. Baginda sedar bahawa para sahabatnya berdukacita kerananya.

Maka kata Baginda :
"Bawalah aku kepada mereka, ingin aku cakap kepada mereka."

Lalu Baginda pun bersembahyang bersama mereka, kemudian berucap di atas mimbar dengan kepala berbalut. Kemudian kata Baginda :

"Seorang hamba Allah telah diberi pilihan untuk mendapat kemewahan hidup di dunia atau berada disamping Allah ".


Abu Bakar yang mendengar ucapan itu terus menangis. Kata Baginda kepadanya :

"Bertenanglah wahai Abu Bakar. Wahai manusia, orang yang paling banyak berbudi dengan harta benda dan perdampingan kepada ku ialah Abu Bakar, andainya dibolehkan saya mendapat khalil (teman), maka Abu Bakarlah akan ku jadikan khalil, tetapi persaudaraan ialah Islam, tidak akan kekal di masjid ini satu tingkap pun melainkan tingkap Abu Bakar.

Aku tidak merasa bimbang kamu akan menjadi musyrik sesudah peninggalan ku tetapi yang aku takut ialah kamu akan bercakaran bersengketa kerana dunia. Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertakwa kepadaNya. Ku wariskan dua perkara pada kalian Al-Quran dan Sunnah ku. Barangsiapa mencintai sunnah ku bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku."



Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah S.A.W. yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saat itu telah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua." Keluh hati semua sahabat kala itu.

Apabila ajal Rasulullah S.A.W. makin hampir maka baginda pun memanggil para sahabat ke rumah Siti Aisyah r.a.

Baginda berkata : "Selamat datang kamu semua semoga Allah S.W.T. mengasihi kamu semua. Aku berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertakwa kepada Allah S.W.T. dan mentaati segala perintahNya. Sesungguhnya hari perpisahan antara aku dengan kamu semua hampir dekat dan dekat pula saat kembalinya seorang hamba kepada Allah S.W.T. dan menempatkannya di Syurga.

Jika telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikan ku, Fadhl bin Abas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid menolong keduanya. Setelah itu kamu kapanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kapanilah aku dengan kain yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku maka hendaklah kamu menempatkan aku di atas balai tempat tidurku dalam rumah ku ini.

Setelah itu kamu semua hendaklah keluar sebentar meninggalkan aku. Pertama yang akan mensolatkan aku ialah Allah S.W.T. kemudian yang akan mensolatkan aku ialah Jibril a.s. kemudian diikuti oleh Malaikat Israfil, Malaikat Mikail, dan yang akhir sekali Malaikat Izrail berserta dengan semua para pembantunya. Setelah itu baru kamu semua masuk beramai-ramai bersolat ke atas ku".



Sebaik sahaja para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat hati itu maka mereka pun menangis dengan nada yang deras dan berkata,

"Ya Rasulullah, engkau adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini engkau memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila engkau sudah tiada lagi kepada siapakah yang akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti".

Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata :
"Dengarlah para sahabatku aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang dan telah aku tinggalkan pada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut.

Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadis ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan ia dengan mengambil pengajaran dari mati. Wahai kaum muslimin, kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah S.W.T. oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan mengerjakan segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia."


Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Matahari kian tinggi tapi pintu rumah Rasulullah S.A.W. masih tertutup. Sedang di dalamnya Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk" Tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,
"Maafkanlah, ayahku sedang demam,"

kata Fatimah yang memalingkan badan dan menutup pintu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,

"Siapakah itu wahai anak ku?"


"Tak tahulah ayahku orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya." Tutur Fatimah lembut.

Lalu Rasulullah S.A.W. menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut."
Kata Rasulullah S.A.W.

Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, kata Rasulullah menanyakan kenapa Jibril A.S. tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril A.S. yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh Kekasih Allah dan penghulu di dunia.

"Jibril, jelaskan apa hak ku nanti di hadapan Allah S.W.T.?" Tanya Rasulullah S.A.W. dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatangan mu," Kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?"
Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak"


"Jangan khuatir wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah S.W.T. berfirman kepada ku, 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa sahaja kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya'" Kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah saw disimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini."
Perlahan Rasulullah S.A.W. menahan kesakitan.

Fatimah terpejam, Ali r.a yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu wahai Jibril? " Tanya Rasulullah kepada Malaikat Penghantar Wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup melihat Kekasih Allah direnggut ajal wahai Rasulullah."
Kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengerang kesakitan kerana sakitnya tidak tertahan lagi.

"Ya Allah dahsyatnya maut ini, timpakan sahaja semua siksa maut ini kepada ku jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibir baginda bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinga baginda.

"Uushiikum bi shalati, wa maa malakat aimanukum, peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antara mu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah S.A.W. yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatii"" " "Umatku, umatku, umatku" Innalillahiwainnailaihirojiun"Maka, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu ""


Diambil dari:
Fiqh Sirah, Said Ramadhan Al-Buti.

1 comment:

  1. Terima kasih atas ingatan itu. Mana SFH lama tak nampak?

    ReplyDelete