Tuesday, October 23, 2012

Adakah hudud itu undang-undang ?

Lama sungguh ambe tidak mengemaskini laman ini. Ambe ingin rakamkan pandangan ambe untuk melihat dimasa hadapan, sama ada pandangan ambe ini menyimpang atau memberi sesuatu berguna pada sesiapa jua.

Apa itu undang-undang ?

Undang-undang adalah satu kaedah untuk mengawal tindak-tanduk perlakuan sosial masyarakat. Undang-undang jenayah bertindak sebagai mengawal tindak-tanduk perlakuan anti sosial. Seseorang itu akan dihukum apabila melakukan sesuatu perkara yang melanggar undang-undang. Melanggari undang-undang menjadi satu kesalahan yang bersamanya hukuman dikenakan kepada si pesalah.

Tujuan undang-undang untuk mengawal setiap perlakuan masyaratkat, institusi dan sebagainya supaya keamanan, hak individu dan tanggungjawab dapat dijaga dan ditegakkan.

Undang-undang mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menjamin agar keadilan dapat ditegakkan bagi sebuah masyarakat yang bertamadun.

Definisi undang-undang.

Tiada definisi khusus yang diterima umum untuk mendefinisikan undang-undang. Namun dipersetujui ramai menyatakan bahawa undang-undang adalah satu set peraturan-peraturan yang mentadbir tingkah laku dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun.

Undang-undang adalah satu set peraturan-peraturan. Pada setiap set peraturan terdiri daripada beberapa set hukuman.

Adakah hudud itu undang-undang ?

Maka ramai beranggapan lalu memberi jawapan bahawa hudud adalah undang-undang. Terdapat banyak penerangan yang menerangkan bahawa hudud itu sebahagian daripada undang-undang syariah yang memberi makna hudud itu adalah undang-undang. Benarkah begitu ? 

Apabila disebut undang-undang syariah, ianya dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk seperti undang-undang jinayah, undang-undang munakahat(perkahwinan), undang-undang muamalah, undang-undang faraid dan lain-lain.

Berbalik pada soalan, "adakah hudud itu undang-undang ?". Pada pandangan ambe bahawa hudud itu bukanlah undang-undang sebenarnya, tetapi hudud itu adalah satu set hukuman.

Penjelasan.

Undang-undang Syariah adalah satu set peraturan-peraturan. Set peraturan-peraturan undang-undang syariah terdiri daripada beberapa set seperti

  • a. undang-undang jinayah
  • b. undang-undang munakahat (perkahwinan)
  • c. undang-undang muamalah
  • d. undang-undang faraid dan lain-lain. 
 
 
a. Pada undang-undang jinayah, terdapat beberapa set hukuman.
  1.  Set hukuman Hudud.
  2.  Set hukuman Qisas dan Diat
  3.  Set hukuman Takzir.

1. pada set hukuman hudud terdapat berberapa jenis kesalahan.
  • i. zina
  • ii. mencuri
  • iii. merompak.
  • iv. minum arak
  • v. qazaf ( menuduh zina )
  • vi.murtad.

2. pada set hukuman qisas diat dan jenis kesalahannya.

  • i. membunuh
  • ii. mencederakan dengan niat.

3. Pada set hukuman takzir merujuk kepada jenis kesalahan selain daripada kesalahan hudud seperti.
  • i. rogol
  • ii. dadah
  • iii. menculik
  • iv. pecah amanah
  • v. menipu dan lain-lain.


Secara jelasnya, hudud adalah set hukuman bagi kesalahan hudud yang telah dinyatakan didalam alquran dan hadis. Hudud bukanlah merujuk bahawa ianya adalah undang-undang, tetapi merujuk kepada hukuman-hukuman.

Hudud didefinisikan sebagai Sekatan-sekatan atau deraan-deraan sebagai balasan yakni hukuman atas kesalahan-kesalahan yang telah dinyatakan.

Hudud bermaksud "had" ataupun "batas", "perenggan","hingga" dan "setakat". Apabila hudud dsebut sebagai Had, maka ia adalah pemisah antara dua perkara daripada bercampur aduk atau bertembung antara satu sama lain.

Apabila disebut HududAllah, maka ia adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah bagi sesuatu yang mempunyai pemisah diatara dua pekara seperti halal atau haram.

Dalam pengajian Syariat Islam, secara khususnya hudud bermaksud "seksaan". Dalam kes jenayah, hukuman yang dikenakan bersifat seksaan seperti rejam atau rotan atau potong atau penjara dan sebagainya. Walaupun tidak semua "seksaan" itu bersifat hudud, tetapi, penjelasan disini untuk menjelaskan bahawa hudud itu bukanlah undang-undang pada definisi undang-undang. 

Pandangan ini ada kaitan dengan saranan ambe terdahulu bertajuk "Tutup Cerita Hudud, Sila bukak cerita Undang-undang Syariah.".

No comments:

Post a Comment