ANAK LUAR NIKAH BERNIKAH DENGAN AYAHNYA SENDIRI
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Soalan : Minta pandangan, bolehkah anak luar nikah bernikah dgn ayahnya sendiri?
Jawapan :
Di kalangan ulamak terdapat khilaf dalam masalah tersebut;
Pandangan pertama; ulamak-ulamak mazhab Syafi'ie berpendapat harus
kerana nasab di antara dia dan anak zinanya tidak diakui Syariat (yakni
seolah-olah tiada hubungan nasab). Perkahwinan antara seorang lelaki dan
wanita diharamkan apabila ada halangan Syarak antaranya;
1. Ada hubungan nasab
2. Ada kaitan susuan
3. Berbeza agama
Maka jika tiada mana-mana halangan seperti di atas, ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.
Pandangan kedua; iaitu pandangan jumhur ulamak (terdiri dari ulamak
mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali); diharamkan perkahwinan antara
seorang lelaki dan anak zinanya kerana walaupun nasab antara mereka
berdua tidak diiktiraf Syarak namun dari segi hakikat kejadian anak itu
tetap anaknya kerana ia datang dari benihnya. Maka anak zina dari segi
hokum perkahwinan tetap tertakluk dengan ayat
"Diharamkan ke atas kamu
mengahwini ibu-ibu kamu dan anak-anak perempuan kamu....." (Surah
an-Nisa', ayat 23).
Adapun hukum berkenaan perwarisan, pewalian, nafkah,
penyusuan dan sebagainya -yang selain dari perkahwinan, maka ia
tertakluk dengan hukum nasab. Oleh kerana nasab mereka berdua tidak
diakui Syarak, maka tiada hak-hak tersebut bagi si anak. Adapun bagi
masalah perkahwinan, ia tidak tertakluk kepada hukum nasab dalam masalah
ini tetapi tertakluk kepada hukum kejadian.
Pandangan yang ditarjih oleh para ulamak terkemudian ialah pandangan
kedua iaitu pandangan jumhur. Malah semua institusi fatwa yang menjadi
sandaran di dunia hari ini (Mesir, alAzhar, Saudi) berpegang dengan
pandangan mengharamkannya.
Wallahu a'lam.
Rujukan;
1. Al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.