Sunday, April 6, 2014

Terjemahkanlah Hudud kepada Mandatori atau Maksimum.

Hukum Hudud sering digambarkan sebagai undang-undang syariah. Gambaran ini tidak tepat, kerana  hukum hudud  adalah kod hukuman mandatori ( the mandatory punishment ). Manakala hukum Qisas adalah Kod Hukuman Balas ( the reciprocate punishment ). Manakala Hukum Takzir pula adalah kod Hukuman Kesepakatan ( diputuskan oleh pemerintah berdasarkan kemaslahatan umum pada suatu tempat dan masa ).

Apabila diterjemahkan Hudud kepada Mandatori atau Maksimum atau Seksaan, ianya akan memudahkan urusan meminda undang-undang sedia ada mengikut keperluan dan menepati kehendak Syara'.

Hukuman Hudud perlu diterjemahkan kepada Hukuman Mandatori atau Hukuman Maksimum atau Seksaan Maksimum, dengan tujuan untuk menyesuaikan fikrah orang-orang kafir yang tidak memahami maksud dan pergertian Hudud. Apabila ditukar terjemahan tersebut, mudah-mudah ianya dapat difahami dengan mudah. Apabila timbul persoalan-persoalan, penggunaan hukuman mandatori/maksimum dapat memudahkan lagi penjelasan dan penerangan.

Pada awal April 2014, Kerajaan Kelantan ingin membawa satu Rang undang-undang persendirian ( private bill ) bagi meminda Akta 355, ( Akta Mahkamah Syariah 1965 ) dengan tujuan untuk membolehkan bidang kuasa yang lebih luas kepada Enakmen Jenayah Syariah 2 ( Hudud dan Qisas ). Perkara ini cuba dibawa ke Parlimen oleh salah seorang Ahli Parlimen dari PAS , menggunakan peruntukan Perkara 76A(1) dalam Perlembagaan Persekutuan dengan harapan mendapat persetujuan dari parti politik yang menguasai Parlimen.

Belum lagi perkara itu dibawa ke Parlimen dalam masa yang terdekat, Pengerusi DAP, Karpal Singh telah bersuara tidak menyokong usaha tersebut ( http://www.malaysiakini.com/news/259013 ). Apabila DAP rakan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak menyokong usaha tersebut, sudah tentu, BN yang diketuai UMNO juga tidak akan menyokong usaha meminda Akta 355 ( Akta Mahkamah Syariah 1965).

Usaha ini juga akan berhadapan dengan halangan-halangan dari Perlembagaan Persekutuan yang akan menambahkan lagi usaha meminda akta tersebut.

Pada Perkara 76A(1) menyatakan bahawa "Dengan ini ditegaskan bahasa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripdanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan ( jika ada ) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu."

Perkara 76A(1) seperti memberi dan harapan peluang untuk meminda Akta 355 ( Akta Mahkamah Syariah 1965 ) seandainya disokong sepenuhnya oleh Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak.  Tetapi, apabila membaca ungkapan "tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan ( jika ada )", seperti ada halangan lain yang membantut usaha tersebut.

Mungkin sekatan-sekatan itu boleh dirujuk kepada Perkara 4(1) dan 75. Jika sedemikian, pada pendapat ambe, usaha pertama PAS untuk meminda akta 355 AKta Mahkamah Syariah 1965 menemui jalan buntu.

Oleh itu, sesuai dengan tajuk artikel ini, ambe berpandangan, adalah lebih elok diterjemahkan Hudud kepada  Mandatori atau Maksimum, untuk memudahkan PAS melancarkan satu lagi usaha dan mencari ruang untuk melaksanakan Hukum Mandatori (hukum hudud ). Usaha-usaha berikutnya, langsung tidak akan dihalangi atau tersekat oleh Perkara 4(1) dan Perkara 75. Usaha-usaha yang dimaksudkan itu adalah meminda Seksyen-seksyen tertentu didalam Akta 574 ( Kanun Keseksaan ).

Dalam akta 574 Kanun Keseksaan, terdapat kesalahan-kesalahan yang menyerupai dan hampir sama dengan kesalahan-kesalahan Syariah, seperti mencuri dan merompak. Apabila meminda Seksyen-seksyen didalam Akta 574 Kanun keseksaan dengan memasukkan Hukuman mandatori ( Hukum hudud) bagi mengantikan hukuman lama, menjadikan ianya seperti melaksanakan undang-undang syariah.

Dibawah Seksyen 379 Seksaan bagi kesalahan mencuri menyebut bahawa "Barang siapa melakukan kesalahan mencuri hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat".

Seksaan diatas masih belum cukup mandatori atau maksimum sebagaimana yang dituntut oleh Syara'. Bagi kesalahan mencuri, syara' menetapkan bahawa pencuri hendaklah dikenakan hukuman potong tangan sebagai hukuman maksimum. Dengan ini, penetapan syara' dapat dimasukkan kedalam seksyen 379. Secara tidak langsungnya, hukman hudud dapat dilaksanakan.

Apabila menterjemahkan hukumam Hudud kepada hukuman Maksimum atau Mandatori, elemen hudud itu dapat dimasukkan kedalam Sekyen yang berkenaan tanpa ada pertikaian lidah antara pemimpin parti politik. Jika wujud juga pertikaian lidah, penjelasan dan penerangan dapat disampaikan dengan mudah.

Dibawah Seksyen 392 Seksaan bagi rompak menyebut bahawa " Barang siapa melakukan rompak hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai empat belas tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat".

Seksaan diatas juga masih belum cukup mandatori atau maksimum sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'. Hukuman bagi kesalahan merompak, apabila dirujuk pada penetapan-penetapan oleh syara', hukumannya adalah hukuman bunuh.

Jika diteliti keseluruhan Akta 574 Kanun Keseksaan, banyak perkara dapat dibincangkan dan dicari jalan penyelesaian dalam usaha memasukkan hukuman hudud kedalam Akta 574 tersebut.

Hasil dari penelitian dan perbincangan, PAS boleh membukukan hasil perbincangan dan penelitian sebagai agenda PAS dalam menempuh PRU14 akan datang. Apabila dibukukan Agenda-agenda pindaan Seksyen-Sekyen dibawah Akta 574 Kanun keseksaan,  ianya akan menjadi bahan perbincangan orang ramai dan pemimpin politik untuk melihat pro dan kontra pindaan-pindaan tersebut. Ambe yakin, banyak persoalan dapat dijawab dengan mudah tanpa lagi bercanggah pendapat antara pemimpin PAS , PKR dan DAP.

Masyarakat hari ini cukup marah dan geram apabila mendengar  dan membaca laporan kejadian rogol. Jika di kajiselidik dari kaca mata orang awam, majoritinya mahu perogol dihukum dengan hukuman bunuh. Ini kerana perbuatan merogol itu satu perbuatan terkutuk dan lebih keji dari perbuatan zina.

Didalam Seksyen 376, Seksaan bagi Rogol menyebut bahawa  " (1) Tertakluk kepada subseksyen(2),(3) dan (4), barang siapa melakukan rogol hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

Apabila dilihat seksaan bagi perogol, masih belum Maksimum atau mandatori. Maka, bolehlah sekiranya, seksaan bagi rogol itu dipinda kepada hukuman maksimum atau mandatori iaitu membawa kepada hukuman bunuh. Jika dibincang dari sudut fekah, menetapkan hukum bunuh ke atas perogol, masih menepati kehendak syara', kerana ada ulama mazhab menyebut, kesalahan rogol boleh dikenakan hukuman yang lebih berat dari hukuman maksimum/mandatori.

Banyak lagi seksyen-seksyen boleh dibincangkan dan diteliti. Jadikan ianya sebagai agenda dan bukukan sebagai satu bahan untuk menerangkan langkah-langkah yang bakal diambil oleh PAS untuk mengurangkan kadar jenayah yang berlaku dimalaysia.

Persoalannya.... bersediakah PAS memperbaharui cara penyampaian pelaksanaan hudud ?