Jika Seorang yang Jahil telah bertanya soalan kepada Anda;
“Jika kamu mengatakan bahawa Tuhan-mu
Allah Yg Maha Besar.. yang menciptakan segala sesuatu.. Tuhan-mu
menciptakan alam ini.. dan mampu menciptakan sesuatu apa pun.. adakah
Tuhan-mu mampu menciptakan seketul batu yang lebih besar & berat
dari diri-Nya yg boleh menghempap-Nya??”
Inilah jawaban terbaik
Yang pertama dan paling penting - Orang yang
bertanya itu selama ini ada tersalah faham tentang zat Allah. "Allah
Maha Besar" itu bukannya bermaksud zat/diri Allah itu BESAR sebagaimana
besarnya bukit, besarnya laut, besarnya langit dan sebagainya. Besarnya
bukit, laut, langit dan lain-lain itu melibatkan saiz dan ukuran, tetapi
"MAHA BESAR" pada Allah itu bukannya saiz atau ukuran. Zat Allah tidak
terpengaruh dengan saiz dan ukuran sebagaimana saiz dan ukuran zat
makhluk.
Zat Allah tidak dipengaruhi oleh jisim, tempat, ruang, masa, batasan,
tepi, posisi, arah, langit, bumi dan sebagainya sedangkan BESAR yang
dimaksudkan oleh penanya tadi ialah BESAR yang terlibat dengan saiz,
ukuran, jisim, tempat, ruang dan sebagainya.
BESAR Allah tidak mengambil ruang dan tempat, sedangkan besar langit,
alam dan seluruh isinya mengambil ruang dan tempat. Oleh itu, kita tak
boleh samakan atau bandingkan MAHA BESAR Allah dengan BESARNYA makhluk,
kerana kedua-duanya hal yang berbeza.
Mustahil Allah dapat menciptakan sesuatu yang lebih besar saiz dan
ukurannya daripada diriNya, kerana diriNya bukanlah terlibat dengan saiz
dan ukuran.
Contoh (sekadar untuk menghampirkan kepada faham) : Bolehkah kita buat
sesuatu yang lebih besar daripada basikal? Ya, kita boleh buat kereta
api. Hal ini mampu berlaku kerana kedua-dua basikal dan kereta api
adalah berjisim, ada saiz, ada ukuran. Memanglah boleh dibandingkan mana
yang lebih besar.
Tapi bolehkah kita buat sesuatu yang lebih besar daripada bahagia?
Takkan kita nak buat bangunan 1,000 tingkat lalu kita katakan yang
bangunan itu lebih besar daripada bahagia? Mana mungkin, kerana bahagia
bukan ada saiz atau ukuran sepertimana saiz dan ukuran bangunan.
Yang kedua - Kita sarankan kepada orang yang bertanya agar dia berusaha belajar :
1. Sifat-sifat atau perkara-perkara yang layak bagi Allah.
2. sifat-sifat atau perkara-perkara yang tidak layak (mustahil) bagi Allah.
Perkara yang dibangkitkan oleh penanya berkait dengan sifat-sifat atau perkara-perkara yang tidak layak bagi Allah.
Contohnya :
1. Tidak layak (mustahil) bagi Allah untuk wujud kemudian daripada
mana-mana makhluk. Ketidakmampuan Allah untuk wujud kemudian daripada
makhluk bukanlah bererti Dia lemah, malah itulah bukti Dia Maha Awal.
2. Mustahil bagi Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada
pemerintahan-Nya/kerajaan-Nya. Ketidakmampuan Allah untuk membuang
mana-mana makhluk keluar daripada kerajaan-Nya bukanlah bermaksud Dia
lemah, bahkan itulah bukti Dia Maha Kuat.
3. Tidak layak bagi Allah untuk terlupa. Ketidakmampuan Allah untuk lupa
bukanlah bukti Dia lemah, tapi itulah bukti Dia Maha Mengetahui.
4. Mustahil untuk Allah menciptakan satu Tuhan yang lebih berkuasa
daripada diriNya. Ketidakmampuan Allah untuk menciptakan satu Tuhan yang
lain bukanlah bermaksud Dia lemah, bahkan itulah bukti hanya Dialah
yang Maha Berkuasa.
5. Begitu jugalah...mustahil untuk Allah menciptakan sesuatu yang lebih
hebat daripada diriNya, kerana Dialah yang terhebat, Maha Hebat bahkan
satu-satunya yang hebat. Hebat mana-mana makhluk pun adalah atas
kurniaan/anugerah/pemberian-Nya.
Maka, mustahil untuk Allah menciptakan sesuatu yang lebih MAHA BESAR
daripada diri-Nya. Ketidakmampuan Allah mengadakan sesuatu yang lebih
MAHA BESAR daripada-Nya bukanlah hujah mengatakan Dia lemah, bahkan
itulah bukti bahawa Dialah Yang Maha Besar.
Semoga dengan jawapan ini diharapkan dapat membantu pemahaman si penanya. Wallahualam.
Abu Zulfiqar
25 Julai 2013
http://myalexanderwathern.blogspot.com/2013/08/sesuatu-yang-lebih-besar-daripada-allah.html