Wednesday, February 25, 2015

Kalau nak digelar "ulama", masuklah politik...

Saya merasakan istilah "ulama" digunakan begitu mudah dan meluas di kalangan ahli politik. Ada gelaran "ulama Pas" dan ada juga "ulama Umno". Dalam lembaran sejarah dan tamadun Islam, khususnya zaman awal Islam, pemakaian istilah "ulama" ini jarang, malah mungkin tidak digunakan pun. Yang ada ialah "al-Sahabah", "al-Tabi'", "al-Tabi'in" dan sebagainya.

Apa kayu pengukur atau scale yang melayakkan seseorang itu digelar sebagai "ulama"? Mengapakah para pensyarah universiti yang mempunyai kelulusan pengajian Islam sehingga Ph.D tidak dipanggil "ulama"? Kenapa dengan mudah kita melabelkan mereka yang mempunyai sejarah pendidikan lampau dalam bidang agama, samada secara rasmi (di universiti, pondok atau madrasah) terus mendapat jolokan "ulama"? Manakala yang bukan sealirannya tidak dipanggil sedemikian?

Rasanya budaya Melayu sangat sinonim dengan pelbagai gelaran, seperti memanggil gelaran "haji" atau "hajah" bagi yang balik dari menunaikan fardu haji di Mekah sebagai menandakan orang itu sudah menunaikan haji tersebut. Sedangkan bagi yang menunaikan puasa, tidak pula dipanggil sebagai Puasa Hassan atau Puasa Jusoh di depan pangkal namanya.

Tidakkah pemakaian gelaran atau label ini (ulama dan bukan ulama) lebih kepada mendatangkan keburukan, seperti riak, sombong, memandang rendah kepada kelompok yang bukan sealiran ataupun mungkin boleh mencetuskan bibit-bibit perpecahan.


nukilan : sumbatgol.

No comments:

Post a Comment